Pengarah Kejohanan, Shamsuri Abd Latif berkata, peserta dikehendaki melakukan orienteering, berbasikal bukit, berkayak, berakit, melakukan aktiviti tali tinggi, penjelajahan gua, berlari denai dan merentas hutan.
Lebih mencabar, menurutnya, setiap kumpulan dibekalkan peta dan kompas, terpulang kepada kemahiran navigasi mereka untuk mencari laluan serta lokasi rintangan yang ditetapkan penganjur.
"Ada tujuh disiplin yang mereka kena 'negotiate' selama 48 jam, jadi mereka kena 'survive', makan sendiri, tidur dan susun jadual mereka sendiri.
"Laluan mereka meliputi Kampung Beng, Bukit Sapi, hingga tembus ke Jambatan Victoria di Kuala Kangsar dan penamatnya di Resort Tasik Raban semula.
"Kita yakin insya-Allah, semua peserta akan sampai pada jam 4 atau 5 pagi, 24 November ini," katanya ketika ditemui sejurus selepas gimik pelepasan di sini, hari ini.
Turut hadir pada sesi pelepasan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Mengulas lanjut, Shamsuri berkata, Lenggong Ironbound Expedition A1 Asia World Cup 2024 anjuran Akademi Orienteering Malaysia itu mendapat pengiktirafan A1 Nationwide dari Australia.
Selain itu, kejohanan itu turut mendapat kelulusan antarabangsa daripada World Obstacle Federation iaitu FISO (Fédération Internationale de Sports d'Obstacles) dari Amerika Syarikat.
Shamsuri yang berpengalaman 24 tahun dalam menganjurkan pertandingan sukan lasak berkata, terdapat elemen 'fast roping' seperti 'traversing' ditukar lokasi dari Gua Tok Giring Lenggong ke Jambatan Raja Nazrin, Tasik Raban sekali gus memberi kelainan pada edisi kali.
"Kita juga masukkan laluan trek baharu yang sangat mencabar. Rata-rata pasukan luar negara tidak biasa dengan perlumbaan di hutan hujan kita yang berlumut, ini menambah kesukaran untuk 'run above' berbanding trek di Australia dan New Zealand.
"Setiap negara ada senario persekitaran yang berbeza. Peserta luar negara amat risau tentang suhu panas di Malaysia, namun inilah cabaran yang mereka hendak rasakan hingga sanggup datang mengambil bahagian dalam kejohanan ini," katanya.
Berkongsi lanjut, Shamsuri berkata, pasukan Australia hadir dengan misi menebus kekecewaan mereka apabila tumpas di tangan pasukan Malaysia pada edisi terakhir di Lenggong, dua tahun lalu.
"Semasa itu pasukan Australia hampir muncul juara, namun sekitar 70 meter dari garisan penamat, seorang ahli pasukan mereka pengsan.
"Kesempatan itu dimanfaatkan pasukan Malaysia yang memintas dan muncul juara pada 2022 lalu," katanya.
Tambahnya lagi, selain format perlumbaan 48 jam bagi atlet berstatus elit, penganjur juga perkenalkan format 12 jam yang berlangsung waktu sama dengan jarak keseluruhan 150km.
Menurutnya, format itu sesuai untuk atlet yang baru berjinak dengan pertandingan sukan lasak.
"Format ini diseratai 40 peserta yang semuanya warga tempatan. Jika format 48 jam membabitkan empat orang satu pasukan, format 12 jam pula menetapkan dua peserta setiap pasukan.
"Sempena Tahun Melawat Perak 2024, ini cara kita promosi Perak kepada dunia menerusi sukan lasak.
"Kami berterima kasih kepada Tourism Perak dan Kerajaan Negeri Perak yang menyokong penganjuran kejohanan yang sudah masuk kali ketiga berlangsung di Lenggong," katanya memaklumkan ia pernah dilaksanakan di Langkawi dan Royal Belum beberapa tahun lalu sebelum beralih ke Lenggong.
Sumber Berita: Berita Harian Online